Berita Utama

Desak batal darurat, tak malu ke?

PAS bidas pihak desak Agong batal darurat

BANGI, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – PAS membidas tindakan segelintir pemimpin yang mendesak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan darurat.

Bendaharinya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, gesaan berkenaan tidak sesuai dilakukan ketika ini tatkala Yang di-Pertuan Agong sedang sibuk membantu mangsa banjir.

Sebaliknya, katanya, pihak berkenaan hanya sibuk bermain politik dan seolah-olah tidak mempedulikan rakyat yang sedang dalam kesusahan.

“Ada yang sibuk desak YDPA (Yang di-Pertuan Agong) batalkan darurat tapi YDPA sibuk melawat dan bantu mangsa banjir. Tak rasa malu ke?,” soalnya dalam ciapannya di laman Twitter, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis meminta semua Ahli Parlimen mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengisytiharan darurat dibatalkan dan Parlimen bersidang secepat mungkin.

Dalam surat yang dihantar kepada Ahli Parlimen, Anwar yang juga Presiden PKR meminta mereka menulis warkah itu pada Jumaat supaya Parlimen dapat bersidang sebelum 31 Januari.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan itu diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu pada Isnin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button