Berita Utama

Hanya murid hadapi peperiksaan penting hadir ke sekolah

KPM buat keputusan susulan keadaan semasa COVID-19

PUTRAJAYA, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Hanya murid yang bakal menduduki peperiksaan penting perlu hadir ke sekolah bermula 20 Januari ini, manakala sesi persekolahan secara bersemuka bagi murid selain kategori itu akan ditangguhkan, demikian kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Antara yang perlu hadir ke sekolah adalah mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

KPM menjelaskan, keputusan itu dibuat berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19.

“Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021,” katanya.

Sementara itu, bagi tujuan pengoperasian sekolah, KPM berkata, semua guru perlu kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021.

Guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SCM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka.

“Guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran sekolah adalah berdasarkan keperluan ditetapkan oleh Ketua Jabatan,” katanya.

Pada masa sama, KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah yang berada di bawah kerajaan negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button