‘Jangan musnahkan rumah sendiri’: MT UMNO
Ini bukan masa berpecah-belah, pemimpin UMNO perlu punyai disiplin

KUALA LUMPUR, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Rizam Ismail meminta agar pimpinan partinya tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan memusnahkan ‘rumah’ sendiri terutama di dalam keadaan politik yang tidak stabil dan ekonomi tidak menentu ketika ini.
Menegaskan perkara itu, Rizam berkata, ini bukan masanya untuk berpecah-belah dan bertelagah sesama sendiri.
Sebaliknya, setiap pimpinan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada akar umbi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu.
“Sebagai pemimpin yang matang kita perlu menyeru kepada ahli-ahli parti agar merapatkan saf dan bersatu padu di belakang pemimpin utama kita iaitu Presiden UMNO. Institusi Presiden adalah institusi tertinggi di dalam parti yang perlu dipertahan.
“Jangan kita merobek lagi luka yang sudah terpahat. Ada baiknya jika kita memfokuskan kekuatan kita dengan membantu rakyat yang kini sengsara dengan pelbagai masalah ekonomi akibat COVID-19,” kata Rizam.
Beliau berkata, pemimpin UMNO mempunyai disiplin parti yang perlu diikuti oleh ahlinya manakala pemilihan UMNO akan menjadi medan ahli untuk memilih pemimpinnya.
“Oleh itu, sebagai ahli UMNO yang mendokong perlembagaan parti perlulah jadikan pemilihan UMNO sebagai medan memilih pemimpin dan bukannya dengan mendesak meletakkan jawatan atau berehat jika kepentingan kita tidak dituruti.
Terdahulu, Rizam merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pontian, Mohd Helmi Buang yang meminta untuk presiden sekali lagi berehat dan berundur dari jawatan Presiden UMNO.