Berita Utama

Pasangan baru 6 bulan kahwin paling tinggi rekod cerai

Sebanyak 1,939 kes didaftarkan tahun ini di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Pasangan paling tinggi direkodkan membuat permohonan cerai di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST), adalah pasangan yang baru enam bulan mendirikan rumah tangga.

Selain kategori itu, pasangan yang sudah 30 hingga 40 tahun bersama, malah ada daripada mereka yang sudah mempunyai cucu dan cicit juga turut direkodkan memohon perceraian, kata Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.

Bagaimanapun, katanya, kategori kedua tersebut jarang berlaku dan hanya melibatkan sebilangan kecil kes.

“Sebagaimana perkahwinan tidak mengenal usia, begitu juga dengan perceraian yang tidak mengenal usia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zakri berkata, mengikut data yang diambil daripada fail-fail kes sebelum ini, majoriti daripada mereka memohon perceraian kerana tiada kesefahaman.

Namun, lazimnya pihak terlibat tidak mahu mendedahkan alasan sebenar mereka hendak bercerai.

“Hal ini kerana ia melibatkan sensitiviti apabila melibatkan hal dalaman rumah tangga, malah kebanyakannya pula bersetuju untuk bercerai secara baik, maka soal kenapa hendak bercerai tidak dijelaskan secara terperinci.

“Berbeza pula dengan perceraian dengan tuntutan fasakh, ia melibatkan pembuktian dan keterangan maka memerlukan alasan yang kukuh untuk membubarkan perkahwinan mereka,” katanya.

Wan Mohd Zakri berkata, mengikut statistik permohonan perceraian sepanjang tempoh tahun lepas, bilangan permohonan merekodkan penurunan.

Katanya, hanya 1,939 kes didaftarkan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang mencatat sebanyak 2,090 kes; 1,896 kes (2018); 1,873 kes (2017) dan 1,786 kes (2016).

Menilai situasi itu, beliau berkata, penurunan ini bermungkinan disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini.

Ia termasuk pengoperasian pejabat yang dihentikan semasa Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tempoh pandemik sedikit sebanyak menyekat pergerakan orang awam untuk berurusan di kaunter setempat untuk tujuan pendaftaran sekali gus memberi kesan kepada statistik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button