Anwar lepaskan jawatan Presiden PKR?
Beri laluan kepada muka baharu jika dipersetujui ahli
KEPALA BATAS, 18 Jamadilawal 1443H, Khamis – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan utama di dalam parti politik.
Pemimpin veteran itu berkata, ia bagi memboleh muka-muka baharu yang dipersetujui parti diberikan laluan.
“Kita bagi ruang dan saya sendiri bagi ruang kalau konsensus (kesepakatan) parti nak terima pemimpin baharu.
“Kita harus terbuka, jangan terlalu mengongkong akan kebangkitan tokoh baharu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan proses pemilihan pemimpin PKR belum dilakukan setakat ini.
“Belum putus lagi bila pemilihan, kalau ada pemilihan kita mesti bagi ruang, tengok tokoh yang ditonjolkan.
“Kita lihat konsensus kepemimpinan bagaimana, kemudian kita ‘move on’ (bergerak ke hadapan),” katanya.