Berita UtamaDunia

Pertama dalam sejarah, pasukan NFL lantik muslim jadi ketua jurulatih

Aktivis sambut baik pengumuman, anggap peningkatan penerimaan muslim di Amerika

NEW YORK, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Pasukan Liga Bola Sepak Nasional (NFL) Amerika Syarikat, The New York Jets mengumumkan bahawa mereka telah mencapai kesepakatan untuk melantik Robert Saleh, sebagai ketua jurulatih muslim pertama dalam sejarah bola sepak Amerika, lapor Anadolu Agency.

Jets mengumumkan perjanjian itu pada hari Khamis, dengan menyatakan bahawa Saleh ‘akan menjadi ketua jurulatih ke-20 Jets dalam sejarah francais dan jurulatih ke-18 mereka sebelum bermulanya musim baru’.

Saleh, yang berasal dari Dearborn, Michigan dan berketurunan Lubnan, sebelum ini menghabiskan empat tahun sebagai penyelaras pertahanan untuk pasukan San Francisco, 49ers.  

Dia juga pernah bekerja untuk pasukan NFL lain termasuk Jacksonville Jaguars dan Seattle Seahawks, menurut pengumuman Jets.

“Tahniah kepada Coach Saleh dan keluarganya. @Nyjets anda mempunyai jurulatih yang hebat dan orang yang sangat baik,” kata salah seorang pemain 49ers, Robbie Gould di Twitter.

Keputusan Jets menjadikan Saleh sebagai ketua jurulatih muslim pertama untuk pasukan NFL, menurut laporan NBC yang memetik kenyataan daripada kumpulan advokasi Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

“Kami mengalu-alukan perkembangan ini sebagai satu lagi tanda peningkatan penerimaan dan pengiktirafan muslim Amerika dalam masyarakat kita yang pelbagai,” kata jurucakap, Ibrahim Hooper menerusi satu kenyataan di Twitter dan laporan NBC. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button