Berita Utama

KKM tubuh pasukan khas siasat kes kematian doktor pelatih

Kerajaan negeri akan adakan Mesyuarat Exco Kesihatan Khas

BANGI, 5 Syawal 1443H, Jumaat – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia menubuhkan pasukan bertindak bebas bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang, bulan lalu.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan khas yang akan ditubuhkan berfungsi untuk menyiasat budaya buli yang didakwa berlaku.

“Saya menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari ketua Jabatan mendiang di Pulau Pinang.

“Pasukan polis kini sedang melengkapkan siasatan penuh,” katanya seperti dilapor portal media tempatan, hari ini.

Sementara itu, kerajaan Negeri Pulau Pinang pula akan mengadakan mesyuarat Exco Kesihatan Khas bersama doktor pelatih dan junior bagi membincangkan mengenai isu di tempat kerja yang dihadapi pada masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, Majlis Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri itu diadakan bagi membincangkan isu membabitkan doktor pelatih dan doktor junior sekali gus mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

”Saya juga telah memaklumkan isu ini kepada Menteri Kesihatan dan kepada mereka yang terlibat dengan KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

17 April lalu seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP dilaporkan terjatuh dari tingkat 23 sebuah pangsapuri di Jalan Datuk Keramat, Georgetown.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button