Berita Utama

‘Tak sayang nyawa’ program agih ayam Pemuda UMNO dicemuh netizen

2,000 penduduk sekitar Putrajaya 'serbu' lokasi program ketika PKP

BANGI, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Rata-rata netizen kesal dengan tindakan penduduk di Presint 9, Putrajaya seolah-olah tidak sayangkan nyawa apabila berkumpul beramai-ramai hanya sekadar mahu mendapatkan seekor ayam beku.

Tambahan pula, kes COVID-19 di negara ini kekal pada empat angka hampir setiap hari.

Terdahulu, sebanyak 2,000 ekor ayam diagihkan secara percuma oleh Pemuda UMNO Putrajaya pada Khamis.

Hampir 2,000 penduduk Putrajaya mengunjungi lokasi agihan berkenaan yang dibuat di hadapan Rumah Perlindungan Kucing sejak jam 4 petang.

Pengguna laman Facebook, Baharin Kamaruddin berkata, nyawa manusia kini murah kerana sanggup dijangkiti COVID-19 disebabkan seekor ayam percuma.

“….murahnya nilai nyawa semua,” katanya.

Turut sependapat adalah Hanasley Mokhtar dengan berkata, kejadian tidak menghapuskan penularan wabak, sebaliknya akan meningkatkan kes jangkitan.

“Kerana ayam percuma nyawa diragut. Melayu Melayu,” katanya kesal.

Pada masa sama, Nazri Tamyiz berkata, netizen tidak seharusnya menyalahkan orang ramai yang datang mengambil ayam berkenaan, sebaliknya perkara itu harus ditujukan kepada penganjur.

“Yang datang pun kalau sanggup ambil risiko, maknanya memang mereka memerlukan bantuan tu. At least lepas juga makan anak bini sehari dua ni,” katanya sinis.

Tulis Nurmilysha Mohd Noor: “Kenapa tak hantar je ke rumah? Tahu ada acara lain yang lebih sesuai buat masa sekarang ini.”

Tambah Rozila Che Harun: “ Kalau nak bagi free pun jangan sampai menyusahkan. Banyak cara boleh buat lagi. COVID-19 makin teruk, kesian pula tengok,”

Putrajaya yang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama lima negeri lain merekodkan bilangan 229 kes dalam tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, Naib Ketua Pemuda UMNO Putrajaya, Mohd Zushaidey Zulkifli berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis.

“Kami menitikberatkan soal prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana agihan dibuat secara pandu lalu dan tidak melibatkan sebarang sentuhan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button