Berita Utama

Tangguh persekolahan secara bersemuka keputusan terbaik: i-Guru

Syor beri penempatan khas murid duduki peperiksaan di kawasan kritikal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya dijadualkan bermula 20 Januari ini.

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, i-Guru mengambil maklum peningkatan kes COVID-19 sehingga melepasi angka 4,000 lebih. 

“Keadaan ini amat membimbangkan semua pihak khususnya ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka. 

“Begitu juga warga pendidik yang turut terdedah kepada jangkitan COVID-19 jika tidak dikawal dengan ketat jika sesi persekolahan dibuka untuk sekolah rendah dan menengah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, i-Guru dalam satu kenyataan mengesyorkan agar KPM menangguh sesi persekolahan secara bersemuka sehingga ke tarikh yang sesuai dan hanya membenarkan murid-murid menduduki peperiksaan penting sahaja hadir untuk sesi persekolahan secara bersemuka sehingga tamat peperiksaan.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan KPM mempertimbangkan untuk memberi penempatan khas bagi murid-murid di kawasan kritikal yang bakal menghadapi peperiksaan, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelak jangkitan dan menjaga keselamatan pelajar.

“Saya doakan semua pelajar yang bakal mengambil peperiksaan penting untuk terus bersabar dan tabah menghadapi ujian dan sentiasa bersedia sehabis baik.

“Bagi murid lain, teruskan mengikut pembelajaran secara Pengajaran Dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), beri kerjasama baik dengan pihak sekolah, hormati guru dan sentiasa jaga kesihatan fizikal dan mental,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketetapan menangguh sesi persekolahan secara bersemuka itu dibuat setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“KPM komited untuk sentiasa melakukan yang terbaik. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button