Berita Utama

Darurat masa untuk UMNO baiki imej

Belajar dari sejarah, parti paling ramai ahli, tapi tetap kalah PRU14

BANGI, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – UMNO mungkin berdepan tindakan merugikan parti itu dalam politik Melayu, sekiranya salah percaturan pada masa darurat ini.

Bahkan tidak mustahil sokongan rakyat terhadap parti itu juga akan menurun sekali gus memberikan pukulan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Justeru, apa yang perlu dilakukan UMNO pada masa darurat ini adalah memperbaiki imej dan persepsi rakyat ke atas parti itu, kata penganalisis politik, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.

Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.

“Sebarang usaha merebut kerusi Parlimen sama ada milik UMNO asal atau mempertahankan kerusi sedia ada, perlu dinilai dengan teliti.

“Apa yang penting ialah kualiti memenangi sesuatu kerusi, bukan berdasarkan angka keahlian dan pengundi yang mengundi parti itu dalam PRU lalu,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan itu berkata, kepemimpinan UMNO perlu sedar zaman kegemilangan sudah berlalu hingga perlu mengambil tindakan segera bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Hakikatnya, angka keahlian tidak boleh dijadikan ukuran sokongan terhadap UMNO. UMNO perlu belajar daripada sejarah apabila parti yang mempunyai keahlian paling ramai di negara ini tetap kalah dalam PRU14.

“Pengajaran itu perlu dijadikan iktibar bahawa bukan setiap perancangan parti itu mendapat sokongan rakyat khususnya Melayu.

“Walaupun UMNO berjasa kepada negara ini sejak merdeka, ia tetap akan ditolak rakyat jika transformasi dan perubahan struktur kepemimpinan tidak dilaksanakan selari aspirasi jiwa generasi muda,” katanya.

Katanya lagi, persepsi awam yang melihat tindakan UMNO ingin mengadakan PRU sebagai langkah kurang baik.

Parti itu dikatakan terdesak melakukan apa sahaja bagi menyelamatkan beberapa agenda kepemimpinan sedia ada.

“UMNO juga dilihat kurang peka kepada seruan memperkasakan penyatuan ummah hingga PAS tersepit antara matlamat dengan kehendak kepemimpinan UMNO itu. Ia boleh menjejaskan sokongan rakyat walaupun PRU diadakan dalam masa terdekat.

“Apa yang perlu dilakukan UMNO adalah memperbetulkan semula persepsi rakyat terhadap mereka. Ahli Parlimen mereka perlu bertindak bijak, bukan melakukan sesuatu di luar jangkaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button