Berita Utama

Gantung Perlembagaan tak bantu pulihkan pandemik COVID-19: Tok Mat

UMNO sokong usaha kerajaan basmi wabak tapi mahu fungsi Perlembagaan dikembalikan

BANGI, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Kerajaan disaran mengisytiharkan kecemasan kesihatan dan memperkenalkan ordinan spesifik bagi tujuan itu dalam menangani ancaman COVID-19.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya memperbaiki strategi kesihatan, mempertingkatkan kawalan penyakit seperti pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyegerakan immunisasi akan memulihkan Malaysia dari wabak.

Walaupun akur dengan pengisytiharan darurat bagi memastikan pandemik COVID-19 terkawal, katanya, menggantung Perlembagaan sama ada secara separa atau sepenuhnya tidak akan membantu memulihkan pandemik ini.

“UMNO akan menyokong segala usaha kerajaan membasmi wabak ini. Pendirian ini tiada tawar menawar.

“Tetapi UMNO juga akan berusaha sedaya upaya memulihkan semula demokrasi dan mengembalikan semula fungsi Perlembagaan.

“Malaysia adalah demokrasi yang berjaya. Malah ia adalah teladan negara demokratik yang terbaik di kalangan negara Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, demokrasi Malaysia tidak boleh dikalahkan oleh pandemik atau apa jua cabaran yang melanda negara ini.

“Dan ia akan terus menjadi negara hukum dengan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan pedomannya,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP selama 14 hari di enam negeri berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam Rabu lepas hingga 26 Januari depan.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh sama akan dikenakan terhadap enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Dua negeri lagi iaitu Perlis dan Sarawak akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), juga untuk tempoh sama.

Sehari sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Seri Paduka turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Khas Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan bagi mengendali perjalanan darurat negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button