Berita UtamaDunia

Gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa meletus, kini tahap waspada

Lebih 70 gunung berapi masih aktif, 7 sedang aktif meletus

JAKARTA, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Gunung Semeru di Jawa Timur, gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, Indonesia meletus semalam dengan mengeluarkan asap setinggi 4.5 kilometer (km).

Gunung berketinggian 3,676 meter itu meletus jam 5.24 petang waktu Indonesia Timur.

Menurut siaran media Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), gunung itu kini berstatus level II (dua) atau ‘waspada’ dan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) sedang melakukan evaluasi lebih lanjut berhubung letusan itu.

Penduduk di sekitar Desa Sumber Mujur, Desa Curah Koboan dan kawasan sekitarnya diarahkan sentiasa berjaga-jaga dan menjauhi kawasan gunung berkenaan.

Berdasarkan data PVMBG, terdapat lebih 70 gunung berapi yang masih aktif di Indonesia manakala tujuh gunung berapi di Indonesia ketika ini sedang aktif meletus.

Gunung berapi yang sedang aktif meletus sejak dua tahun lepas ialah Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Gunung Merapi (di Jawa Tengah), Gunung Kelud (Jawa Timur), Gunung Sinabung (Sumatera Utara), Gunung Bromo (Jawa Timur), Gunung Soputan dan Gunung Lokon (di Sulawesi Utara).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button