Berita Utama

Aparteid: Mampukah dunia hukum Israel di peringkat antarabangsa?

Jika dilihat semua sistem di dunia sokong kewujudan rejim Zionis

BANGI, 28 Syawal 1442H, Rabu – Negara haram Israel mesti dihukum di peringkat antarabangsa susulan tindakannya yang mempraktikkan dasar aparteid terhadap Palestin.

Bagaimanapun, mantan Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Omar Kassim mempersoalkan, kebarangkalian hukuman itu dikenakan, memandangkan semua sistem dunia dibina bagi menyokong kewujudan rejim Zionis.

“Di tanah air, orang Melayu mesti sedar kewujudan agenda serupa untuk merubah rupa bangsa tanah ini daripada Melayu Islam kepada bentuk yang lain secara halus dan terancang.

“Ini dilakukan melalui pendidikan, pembandaran (Penchinaan dan Pengamerikaan), penguasaan ekonomi, penguasaan media, mencetuskan perseteruan antara bangsa Melayu dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Duta Israel ke Afrika Selatan mengakui bahawa Israel mempraktikkan dasar aparteid terhadap Palestin, sekali gus menggesa dunia menyedari bahawa apa yang terjadi di Selatan Afrika beberapa dekad lalu, turut berlaku di wilayah dijajah itu.

Dalam sebuah artikel yang ditulis di GroundUp, dua Duta Besar Israel, Ilan Baruch dan Alon Liel memberitahu, negara penjajah Israel berusaha mengubah geografi dan demografi Tebing Barat melalui pembangunan pemukiman, yang menyalahi undang-undang antarabangsa.

Mereka mendakwa, rejim Zionis memiliki projek ke hadapan untuk menghubungkan pemukiman secara tidak sah melalui pembangunan infrastruktur, jaringan lebuh raya dan projek pembangunan air serta elektrik yang mengubah pemukiman menjadi pinggir bandar.

“Ia terjadi bersama rampasan dan pengambilalihan sejumlah besar tanah Palestin, termasuk pengusiran rumah dan aktiviti perobohan.

“Bermakna, pemukiman dibangunkan dan diperluas dengan mengorbankan penduduk Palestin, yang dipaksa berpindah ke kawasan tanah lebih kecil,” kata duta itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button