Berita Utama

Kerjasama kepada SPRM boleh bebaskan negara daripada cengkaman rasuah

Ubah corak pemikiran, 'sesuatu kesalahan' tidak boleh ditutup dengan wang

BANGI, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Hanya dengan sokongan dan kerjasama orang ramai kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), negara dapat dibebaskan daripada cengkaman jenayah rasuah.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Kamaruddin M Ripin berkata, setiap individu perlu berusaha dan memainkan peranan masing-masing untuk membasmi jenayah berkenaan.

“Sekiranya setiap orang mula menyemai pemikiran seperti itu dalam diri mereka, perubahan individu ini lama-kelamaan akan menjadi sebagai perubahan dalam masyarakat dan seterusnya perubahan seluruh negara.

“Perubahan ini pasti akan membolehkan negara menjadi lebih makmur dan bersedia mengharungi banyak cabaran di persada antarabangsa,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Selain itu, Kamaruddin berkata, rasuah masih tidak dapat dibanteras sepenuhnya berkemungkinan disebabkan mentaliti masyarakat yang menganggap usaha pembanterasan rasuah hanya terletak di bahu SPRM.

Katanya, rakyat beranggapan mereka hanya perlu menjadi pemerhati dan menggunakan platform media sosial sebagai medan untuk menyuarakan pendapat dan ketidakpuasan terhadap isu rasuah serta siasatan dan prosiding mahkamah membabitkan kes berkenaan.

Secara terperinci, katanya, semua orang akan menuding jari ke arah SPRM apabila timbul sahaja isu rasuah.

“SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah dengan hanya lebih kurang 2,000 pegawai bertungkus-lumus dalam menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat kesalahan rasuah di setiap pelosok negara dan membawa pesalah tersebut ke muka pengadilan,” jelasnya.

Justeru, katanya, rakyat harus mengubah corak pemikiran bahawa sekiranya seseorang indivdu melakukan sesuatu kesalahan atau kesilapan, ia boleh ditutup dengan menyalurkan wang ringgit sebagai rasuah.

“Idea bahawa kita boleh mempengaruhi keputusan seseorang supaya memihak kepada kita dengan menyogok pembuat keputusan itu juga perlu diketepikan sepenuhnya.

“Inilah yang menyebabkan wujud budaya rasuah secara meluas. Seterusnya ia juga menjadi ancaman buruk kepada negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button