Berita Utama

PKP 2.0 longgar, masih ramai keluar sana sini

Barisan hadapan makin terbeban, sikit lagi nak cecah 5,000 kes sehari

BANGI, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah dilaksanakan sejak Rabu lepas, lonjakan kes COVID-19 semakin hari semakin membimbangkan.

Apakah disebabkan PKP 2.0 berbeza dengan PKP 1.0 – yang memberikan kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi – tidak seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu.

Bimbang PKP dilanjutkan lagi, rata-rata pengguna media sosial menggesa kerajaan menguatkan lagi penguatkuasaan serta menapis semula kebenaran yang telah diberi kepada sektor atau industri tertentu.

Netizen dikenali sebagai Che Noriah berkata, kerajaan perlu melaksanakan PKP secara serius selama dua minggu seperti yang pertama.

“Jangan main-main kalau semua diberi kelonggaran beroperasi maknanya bukan lockdown. Buka taman kenapa? Nak suruh orang ramai keluar jogging. Pelik,” katanya.

Aien Azwan pula berpandangan kerajaan seolah-olah tutup mata dengan jumlah kes yang semakin meningkat.

“Kecewa sangat. Nyawa rakyat jadi pertaruhan. Barisan hadapan semakin terbeban. Sikit lagi nak cecah angka 5,000 sehari,” demikian kata Mams Zaiz.

“PKP sekarang macam tak ada PKP. SOP tak ada pun. Boleh kerja ramai-ramai. Ini ada kilang dah kena COVID-19 tapi kerja macam biasa. Doa sajalah,” kata Nazri Ashelisyah Naz.

Bahkan, perkara itu turut dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggesa kerajaan melaksanakan PKP seperti pada Mac tahun lepas.

“Jangan PKP 2.0 ini tak rasa macam PKP pulak. Seolah-olah kerajaan tak serius.

“Dengan bantuan kerajaan kepada rakyat yang memadai, biarlah kita perit seketika untuk dua minggu pertama agar sistem kesihatan dan frontliners kita terpelihara dan PKP tidak perlu dilanjut berulang-kali.

“Pengorbanan seketika adalah jauh lebih baik berbanding mudarat berpanjangan bagi kesejahteraan rakyat dan ekonomi,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Hari keempat pelaksanaan semula PKP menyaksikan kes positif harian COVID-19 di negara ini, pertama kali melepasi angka 4,000 kes dengan Selangor mencatatkan jangkitan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, daripada 4,029 kes yang direkodkan semalam, hanya lapan membabitkan kes import.

Dengan pertambahan kes baharu itu, Malaysia kini mencatatkan 155,095 kes positif COVID-19, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 37,126 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button