Berita UtamaIstimewa

Sekolah tutup: Ibu bapa perlu awasi perkembangan sosial, emosi anak

Pantau pembentukan peribadi, akhlak, perhubungan, keyakinan diri, empati dan kemampuan kendiri

BANGI, 4 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Semua pihak termasuk kerajaan perlu memainkan peranan berhubung pembentukan generasi akan datang susulan penutupan sekolah akibat COVID-19.

Ini kerana penangguhan sesi persekolahan secara tidak langsung akan menangguhkan pendidikan pelajar dari aspek sosioemosi mereka.

Sehubungan itu, Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Rozanizam Zakaria menggesa ibu bapa main peranan mengisi kelompongan ini dengan serius.

Beliau menyarankan, masa yang ada bersama keluarga – sekiranya ada – digunakan sebaiknya untuk mendidik anak aspek ‘socioemotional’.

“Ibu bapa perlu awasi perkembangan sosial dan emosi anak-anak, seperti pembentukan peribadi, akhlak, perhubungan, pengendalian emosi, keyakinan diri, empati, kemampuan kendiri.

“Ini kerana aspek ini adalah penentu kepada kejayaan masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara kerajaan juga kena ambil maklum aspek ini, kata Dr Rozanizam.

Beliau mencadangkan supaya kelonggaran diberikan kepada ibu bapa yang kedua-duanya bekerja supaya ada jadual kerja yang fleksibel agar anak-anak tidak terbiar di rumah.

“Perlu ada mekanisme kerja fleksibel yang seimbang di antara mendepani isu produktiviti di tempat kerja dan rumah.

“Ia waktu yang sukar untuk semua, namun kita perlu jadi luar biasa untuk ‘survive’ dalam waktu yang sukar ini. Semoga pembentukan peribadi anak-anak kita tidak menjadi kesan sampingan kepada pandemik ini,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan menetapkan, hanya murid yang bakal menduduki peperiksaan penting hadir ke sekolah bermula 20 Januari ini, manakala sesi persekolahan secara bersemuka bagi murid selain kategori itu akan ditangguhkan.

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketetapan menangguh sesi persekolahan dibuat setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“KPM komited untuk sentiasa melakukan yang terbaik. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button