Berita Utama

Bicara kes Ahmad Zahid disambung 27 Januari jika PKP tak lanjut

Berdepan 47 pertuduhan 12 pecah amanah, 8 rasuah, 27 pengubahan wang haram

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan ke 27 Januari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes itu memberitahu perkara berkenaan kepada Bernama menerusi pesanan aplikasi Whatsapp.

“Perbicaraan itu akan disambung semula pada 27 Januari tetapi tertakluk kepada sebarang lanjutan PKP oleh kerajaan. Jika PKP dilanjutkan lagi, mungkin kita akan mula pada 22 Februari,” katanya.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Pihak pendakwaan dijadualkan memanggil pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fairul Rafiq Hamiruddin untuk memberi keterangan pada perbicaraan akan datang.

Pada 28 Oktober tahun lepas, pihak pendakwaan memaklumkan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang mendengar kes itu bahawa tujuh saksi lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Seramai 90 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang kali terakhir berlangsung pada 13 Oktober lepas termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr; bekas pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar; rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, B. Muralidharan; pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Ahmad Zahid, 68, yang juga Presiden UMNO, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button