Berita UtamaDunia

HRW desak Israel beri vaksin COVID-19 kepada Palestin

Gesa laksana tanggungjawab undang-undang hak asasi manusia antarabangsa

GAZA, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendesak pihak berkuasa Israel memberikan vaksin coronavirus kepada lebih dari 4.5 juta penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza yang dijajah.

Dalam satu kenyataan, kumpulan hak asasi yang berpusat di New York itu berkata, Israel telah mengabaikan nasib rakyat Palestin yang hidup di bawah pemerintahan ketenteraannya.

“Walaupun Israel telah memberi vaksin lebih dari 20 peratus warganya, termasuk peneroka Yahudi di Tebing Barat, ia tidak komited untuk memvaksin penduduk Palestin yang tinggal di wilayah yang dijajah di bawah pemerintahan ketenteraannya,” kata HRW.

Pada 7 Januari lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan kempen vaksinasi COVID-19 segera bagi memastikan kempen itu selesai pada akhir Mac.

Pertubuhan hak asasi meminta Tel Aviv memenuhi kewajibannya ‘di bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk memastikan bekalan perubatan’ yang dikatakan ‘meningkat selepas lebih dari 50 tahun penjajahan tanpa pengakhiran.’

“Tanggungjawab ini, bersama dengan kewajibannya di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, termasuk menyediakan vaksin secara tidak diskriminatif kepada rakyat Palestin yang hidup di bawah pengawalannya, menggunakan sebagai penanda aras apa yang diberikannya untuk warga sendiri.

“Fakta bahawa warga Israel, termasuk peneroka di Tebing Barat, menerima vaksin dengan kadar paling pantas di dunia menunjukkan bahwa Israel memiliki kemampuan untuk memberikan vaksin.

“Setidaknya-setidaknya kepada beberapa warga Palestin di wilayah yang dijajah, tetapi memilih untuk membiarkan mereka tidak dilindungi,” kata HRW.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, jumlah kes coronavirus telah melebihi 170,000, termasuk 1861 kematian, sejak Mac tahun lalu.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh mengumumkan bahawa kerajaan telah mengambil ‘semua langkah kewangan dan pentadbiran untuk mendapatkan kumpulan pertama vaksin itu, tanpa memberikan perincian lanjut tarikh kehadirannya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button