Uncategorized

Kecewa dengan Zahid, penyokong Najib ajak sokong PN

'Kami hilang kepercayaan, keadilan tak ditegakkan'

BANGI, 24 Zulhijjah 1444H, Khamis – Penyokong Datuk Seri Najib Razak meluahkan secara terbuka mahu beralih arah dengan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mengakui kecewa dengan layanan kerajaan Madani yang tidak menegakkan kebenaran.

Menerusi video yang dimuat naik di dalam TiTok, Syed Muhammad Imran yang juga Ketua Cawangan UMNO Kampung Melayu Batu Caves Selatan mengajak seluruh orang muda dan juga penyokong bekas perdana menteri itu supaya memberi kemenangan kepada PN.

“Saya memberi semboyan seluruh penyokong ‘bossku’ akan sokong PN pada PRN akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau juga mendakwa, dirinya dan beberapa ahli UMNO lain sangat kecewa dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ketua-ketua bahagian.

“Ketua-ketua bahagian UMNO sepatutnya berdiri tegak, tetapi kamu tak buat.

“Kami hilang kepercayaan, ulasan anak Najib yang beritahu perlu menyokong Kerajaan Perpaduan tidak tepat sama sekali.

“Tidak pernah Najib beritahu kita perlu sokong Kerajaan Perpaduan jika keadilan tidak ditegakkan. Ini jelas jika keadilan tidak ditegakkan, kita sokong PN,” katanya.

Justeru beliau mengajak seluruh penyokong terutama orang muda turun menunaikan tanggungjawab pada PRN dan memberi kemenangan kepada PN.

Sebelum ini, perkara sama telah disuarakan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin bahawa sokongan umum dan akar umbi terhadap bekas pemimpin utama negara adalah besar dan mungkin melebihi sokongan kepada parti UMNO sendiri.

Beliau menjangkakan terdapat sebilangan penyokong Najib yang tidak keluar mengundi ataupun memberikan undi kepada pihak lawan pada PRN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button