Berita Utama

Kerajaan ada sumber cukup untuk sistem kesihatan awam

KKM telah menerima peruntukan RM3 bilion untuk penyediaan vaksin

PUTRAJAYA, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi dan mempunyai sumber yang mencukupi untuk memastikan sistem kesihatan awam terus berkhidmat kepada rakyat dalam memerangi pandemik COVID-19, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata perkara itu dicerminkan melalui pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) hari ini yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan meletakkan kesihatan rakyat sebagai keutamaan paling tinggi.

Katanya sebanyak RM800 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah pakej itu bagi keperluan petugas barisan hadapan yang melibatkan perolehan kelengkapan perlindungan diri, reagen, kit saringan, cecair pembasmi kuman dan bahan guna habis.

Dr Adham berkata kerajaan juga begitu prihatin dengan pertambahan beban tugas barisan hadapan KKM dan sebanyak 3,500 kakitangan bertaraf kontrak, antaranya jururawat serta anggota paramedik, akan diambil pada akhir bulan ini.

Beliau berkata bagi mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan negara, sebanyak RM100 juta disediakan untuk kerjasama dengan hospital swasta yang akan menerima serta merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 bagi mengurangkan kesesakan pesakit menerima rawatan di sektor kesihatan awam khususnya di hospital COVID-19.

Dr Adham berkata KKM juga telah menerima peruntukan sebanyak RM3 bilion untuk penyediaan vaksin COVID-19 dengan pelan vaksinasi yang sedang dirancang bermula selewat-lewatnya pada Mac 2021.

“Dengan pengumuman langkah-langkah tersebut, KKM menyeru supaya kita bersama-sama memerangi penularan COVID-19 secara bersepadu,” katanya.

Muhyiddin hari ini mengumumkan PERMAI yang bernilai RM15 bilion dengan 22 inisiatif untuk memerangi pandemik COVID-19 serta memelihara kebajikan rakyat dan perniagaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button