Berita Utama

KPM arah perpindahan guru SJKC ketika PKP?

51 guru kanan SJKC KL terima notis sebelum sesi sekolah bermula

BANGI, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Kementerian Pendidikan dilaporkan telah mengeluarkan arahan perpindahan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Oriental Daily News melaporkan perpindahan guru SJKC kebanyakkannya melibatkan kawasan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Dilaporkan, seramai 51 orang guru kanan dari 15 SJKC di Kuala Lumpur menerima notis perpindahan seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.

Difahamkan akibat wabak COVID-19 sesi persekolahan tidak dapat dimulakan seperti yang dijadualkan, guru-guru SJKC di Kuala Lumpur akan mula mengajar di atas talian pada 20 Januari.

Oriental Daily yang memetik Ketua Majlis Kesatuan Kebangsaan Guru Guru Besar Malaysia (KKGGBM), Lim Bee Khim mengesahkan sekolah-sekolah di empat negeri iaitu di Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Kuala Lumpur telah menerima notis mengenai perpindahan guru.

Katanya, berdasarkan data yang diterima, lebih daripada 15 guru SJKC di Kuala Lumpur bakal dipindahkan ke sekolah lain.

“Sebenarnya, kami tidak menentang perpindahan guru, tetapi kerana keadaan wabak belum stabil, dan banyak guru baru menguasai kaedah pengajaran dalam talian di sekolah asal, jika mereka bertukar ke sekolah lain, mereka harus menyesuaikan diri lagi,” katanya seperti dilapor portal berita Cina itu pada 14 Januari lalu.

Tegasnya, jika langkah ini dari Kementerian Pendidikan, beliau percaya ruang lingkupnya tidak terbatas pada SJKC sahaja bahkan semua sekolah juga terjejas.

Beliau telah memaklumkan kepada Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon mengenai pandangan sekolah dan guru-guru yang terlibat di pelbagai tempat serta kesulitan yang mungkin dihadapi dari tindakan ini.

Bee Khim juga berjanji bahawa sekolah akan berunding dengan jabatan-jabatan yang berkaitan berkenaan isu ini.

Sementara itu, Hang Soon pula menegaskan telah mengarahkan pegawai jabatan berkaitan untuk mengumpulkan maklumat dan memahami sebab-sebab perpindahan guru.

Tindakan itu selepas mendapat maklum balas dari KKGGBM dan Majlis Pengelola Sekolah Cina berhubung perkara berkenaan.

“Jabatan dari Kementerian Pendidikan yang berkaitan telah menghubungi Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur untuk membincangkan masalah ini,” katanya.

Beliau turut memberitahu Oriental Daily akan membincangkan hal pemindahan guru ini dengan Pengarah Pendidikan dan pihak lain untuk memastikan dasar yang dilaksanakan tidak mempengaruhi operasi normal sekolah dan mesti memenuhi kehendak keadaan khas semasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button