Berita Utama

Lumpur tebal cabaran misi bantuan banjir di Chenor: Presiden iGuru

Mangsa menangis, terharu dapat bantuan alatan dapur, alatan tilam

BANGI, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Banjir yang lambat surut dan lumpur tebal menjadi antara cabaran serta kesukaran dalam misi bantuan banjir di beberapa kampung di Chenor, Pahang.

Demikian pengalaman yang dikongsikan oleh Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan dalam misi dua hari bersama pasukan Relawan Muda Ikatan Musimin Malaysia (ISMA) pada 16 dan 17 Januari lalu.

Beliau berkata, misi banjir di Chenor adalah untuk membantu membersihkan masjid yang terjejas dan menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa di sekitar daerah berkenaan.

“Subhanallah dapat melihat lumpur tebal, air yang masih belum surut dan keadaan rumah yang berlumpur akibat banjir. Banjir kali ini agak tidak sedahsyat banjir tahun 2014.

“Saya bersama dua Relawan Muda ISMA Nilai iaitu Shahnazrin Saiful Mulok dan Hamidi Abd Aziz bersama NGO Sahabat Amal Care, Team Hardy ISMA Temerloh, Khidmat Malaysia dan Pasukan Bomba Sukarelawan Gombak turun padang menyampaikan bantuan dan menyelami kesusahan mangsa banjir,” katanya.

Berkongsi lanjut, Ustaz Mohd Azizee berkata, ada di antara mangsa yang terharu dan menangis dengan bantuan yang diberikan terutama alatan keperluan dapur seperti dapur gas serta periuk nasi.

“Rata-rata mangsa memerlukan bantuan dalam bentuk peralatan seperti tilam, selimut dan sebagainya. Buat masa ini amat-amat diperlukan.

“Di Chenor, cabaran utama air banjir terlalu lambat untuk surut, ada yang lebih 14 hari rumah dan barang-barang berendam, ada yang belum surut sehingga hari ini,” katanya.

Serentak itu, beliau mengharapkan mangsa-mangsa banjir di daerah terbabit diberikan kekuatan, termasuk pihak yang terbabit dalam misi bantuan.

“Bagi para dermawan yang ingin menyumbang, sila ke akaun Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Nilai 5551 0831 4688 (Maybank).

“Semoga Allah meluaskan rezeki kita dan dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button