Berita Utama

Pakej PERMAI jadi ‘talian hayat’ jika PKP dilanjutkan

Sekurangnya beri PKS, usahawan mikro ‘bernafas’ untuk jangka pendek

Oleh Athirah Huda Zalhe 

BANGI, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Inisiatif kerajaan melalui pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dapat mengurangkan sedikit impak kepada rakyat sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan. 

Biarpun pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memenuhi keseluruhan permintaan rakyat, sekurang-kurangnya inisiatif itu mampu ‘melegakan’ sebahagian mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir. 

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata, pakej bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu golongan B40 dan memberi nafas lega juga kepada kumpulan M40 menerusi lanjutan moratorium. 

“Melalui moratorium dan pengeluaran KWSP juga dapat membantu mereka meringankan bebanan hutang dalam tempoh sukar ini. 

“Selain itu, ia juga memberi harapan untuk mereka yang mencari atau membuat pekerjaan baharu yang lebih baik mahupun pulangan yang lebih besar,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Terdahulu, Muhyiddin dalam perutusan khas mengumumkan pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkn RM15 bilion, dengan 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan. 

Inisiatif itu antaranya mempercepatkan bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 21 Januari 2021 dan bayaran pendahuluan i-Sinar (Kategori 2) RM1,000 bermula 26 Januari ini. 

Mengulas lanjut, Dr Abu Sofian menyifatkan pakej PERMAI turut memberi talian hayat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro, sekurang-kurangnya untuk jangka masa pendek. 

“Namun, kerajaan juga perlu menggiatkan ekonomi mikro dengan menyediakan tapak perniagaan dan sedikit modal sambil dipantau aktiviti mereka. 

“Pada masa sama, perlu juga berusaha meningkatkan ekonomi disamping menarik pelabur-pelabur asing masuk semula ke Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button