Berita Utama

PM umum pakej bantuan khas, rakyat mohon i-Sinar tanpa syarat

Pengumuman disiarkan secara langsung pada jam 4 petang ini

BANGI, 5 Jamadilakhir 1442H, Isnin – Satu pengumuman berkaitan pakej bantuan khas akan dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini. 

Menerusi poster yang dimuat naik di Facebook Muhyiddin, pengumuman itu akan disiarkan secara langsung jam 4 petang ini. 

Poster pengumuman itu menerima lebih 22,000 tanda suka dan 3,600 komen daripada pengguna media sosial. 

Rata-rata mereka mengharapkan kerajaan memberi tumpuan kepada bantuan golongan M40, selain mengharapkan khabar gembira berkaitan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar. 

Netizen juga meminta kerajaan mempertimbangkan lanjutan i-Lestari 2.0 yang dijadualkan akan berakhir tidak lama lagi, selain moratorium automatik serta bantuan langsung secara tunai. 

“Harap sangat i-Sinar dipermudahkan dan tiada syarat,” tulis Shain Salleh. 

“Bagi la i-Sinar pada semua yang mencarum KWSP. Negara pun akan menjana pendapatan,” kata Mohd Hanapiah Abdullah. 

Pada masa sama, netizen juga meminta Perdana Menteri menyemak semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya membabitkan waktu perniagaan yang dihadkan setakat jam 8 malam. 

“Saya penjual burger. Boleh niaga dua jam saja sehari. Tambah masa sehingga jam 10 pun takpe dah,” tulis Syed Faisal. 

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 di beberapa negeri selama dua minggu sehingga 26 Januari ini bagi menurunkan kadar kes jangkitan harian COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button