Berita Utama

14 lagi hospital rawat pesakit COVID-19

Sedang perkemaskan prosedur bagi memantau kes positif tiada gejala, tidak berisiko dikuarantin di rumah masing-masing

PUTRAJAYA, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Sebanyak 14 lagi hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara melibatkan keseluruhan 539 buah katil, ditetapkan sebagai hospital COVID-19 khususnya bagi merawat pesakit kategori tiga, empat dan lima.

Ia melibatkan Hospital Sultan Ismail yang menyediakan 20 katil, Hospital Muar (24) dan Hospital Sultanah Nora Ismail (28) di Johor; Hospital Serdang (108) dan Hospital Selayang (56) di Selangor; serta Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah (60).

Di Pahang, tiga hospital terlibat iaitu Hospital Pekan (12), Hospital Jengka (50) dan Hospital Muadzam Shah (28); Hospital Setiu, Terengganu (56); Hospital Jeli, Kelantan (24); Hospital Kudat, Sabah (29); selain Hospital Limbang (28) dan Hospital Sarikei (16), di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 hari ini berkata, KKM perlu meningkatkan jumlah hospital COVID-19 ekoran peningkatan kes ketika ini.

“Semasa gelombang kedua COVID-19, hanya terdapat dua hingga tiga peratus pesakit kategori empat dan lima, namun ia meningkat kepada 15 peratus ketika ini dan kalau kita campur kategori tiga, mungkin dalam jangkaan 20 peratus. Jadi, kalau kita ada 3,000 pesakit yang telah dikesan, 20 peratus daripada 3,000, maknanya 600 (pesakit) akan dimasukkan ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM masih melihat dan memperkemaskan prosedur, bagi memantau kes positif COVID-19 yang tiada gejala dan tidak berisiko untuk dikuarantin di rumah masing-masing, dan memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan KKM.

“Kita syorkan mereka guna aplikasi MySejahtera untuk pemantauan harian oleh pihak pegawai kesihatan. Kalau rumah sesuai untuk ditempatkan pesakit, kita nasihatkan mereka duduk di rumah. Kalau boleh ada bilik air sendiri serta amalkan penjarakan fizikal, supaya tidak menjangkiti orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pesakit kategori satu dan dua yang berisiko jika ditempatkan di rumah, akan tetap dibawa ke pusat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), untuk pemantauan.

Mengulas mengenai dakwaan seorang wanita yang tular di media sosial bahawa suaminya mendapat jangkitan COVID-19 semasa menerima rawatan di Hospital Serdang, Dr Noor Hisham berkata, perkara itu sedang dalam siasatan KKM, namun tidak menolak jangkitan boleh berlaku antara petugas kesihatan dengan pesakit dan antara pesakit dengan petugas.

“Inilah sebabnya KKM tidak menggalakkan pelawat datang ke hospital, kerana di hospital ada risiko yang tinggi iaitu jangkitan boleh berlaku, sebab banyak hospital kita hospital bukan COVID-19 pun, ada mengambil pesakit COVID-19 untuk rawatan,” katanya.

Tambahnya, KKM juga sedang melihat kaedah untuk menambah baik prosedur bagi mengelak jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan dan pesakit bukan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button