Berita Utama

PAS tangguh dulu perjuangan RUU 355

Mahu fokus kepada darurat

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – PAS memutuskan untuk menangguhkan dahulu ‘perjuangan’ bagi melaksanakan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Tindakan itu bagi menyelesaikan hal lebih penting ketika ini iaitu darurat.

Bagaimanapun, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, perjuangan parti itu untuk melaksanakan undang-undang berkenaan tidak pernah terhenti.

“Sekarang ini kita perlu tangguhkan (gesaan untuk laksana RUU 355) (dan) selesaikan darurat dahulu. Ini sangat penting bagi kita,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Minda Profesor Negara ‘Bicara Negarawan’ Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita? yang disiar secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara (MPN).

Abdul Hadi dilaporkan menjawab pertanyaan moderator, Felo MPN, Dr Muhammad Asri Mohd Ali, mengenai pendirian PAS berhubung pelaksanaan RUU 355 selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, beliau berkata, penangguhan itu adalah kerjasama awal antara parti yang dipimpin beliau dan UMNO ketika parti itu masih menjadi kerajaan.

Keputusan itu terpaksa diambil selepas gagal mendapat majoriti mudah apabila RUU itu dikemuka untuk bacaan kali kedua di Parlimen sebelum ini, katanya.

“Majoriti mudah (untuk luluskan RUU 355) ini memerlukan undi sekurang-kurangnya lebih daripada satu.

“Malangnya dalam UMNO tidak semua sokong. Tapi (pada awalnya) kita telah berjaya bincang dengan UMNO dan UMNO bersetuju menyokong usul ini tapi bila sampai ke peringkat hendak undi, tidak cukup.

“Maka kita sekadar dapat kemuka bacaan kali yang kedua sahaja. Tidak diundi lagi. Jadi terpaksa kita tangguh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button