Berita Utama

Agong titah semua pihak ketepi perbezaan perangi COVID-19

Negara mampu landaikan lekuk kes jangkitan, ringankan bebas petugas

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bagi memerangi COVID-19 yang berterusan mencatatkan kes positif harian empat angka, sejak hujung tahun lalu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda yakin, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, negara mampu untuk sekali lagi melandaikan lekuk kes jangkitan COVID-19, sekali gus meringankan beban dipikul petugas barisan hadapan.

Menurutnya, baginda menzahirkan kegusaran, melihat peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di Lembah Klang, yang mencatatkan kenaikan mendadak kes-kes positif.

“Berikutan peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil ICU ini, pesakit-pesakit jangkitan COVID-19 yang kritikal, terpaksa ditempatkan di hospital-hospital kerajaan yang lain, dan ini boleh menjejaskan rawatan pesakit-pesakit bukan COVID-19 yang lain,” titah Al-Sultan Abdullah menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Semalam, negara merekodkan sebanyak 3,306 kes jangkitan COVID-19 baharu, manakala 15 hospital COVID-19 dilaporkan mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button