Bekas MB Terengganu, isteri positif COVID-19
Tidak ada simptom hanya keletihan sebelum jalani ujian saringan

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isterinya, Toh Puan Seri Norliza Mahmud disahkan positif COVID-19, hari ini.
Beliau kini sedang dirawat di wad pesakit COVID-19, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.
“Saya dan isteri menjalani ujian saringan Sabtu lalu, selepas sehari pulang dari Kuantan.
“Hasil ujian mengesahkan saya dijangkiti COVID-19,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu memaklumkan tidak dapat mengesahkan punca jangkitan.
Katanya, beliau pulang ke Kijal dari Kuantan, Jumaat lalu.
“Saya dan isteri tidak mempunyai sebarang simptom, hanya keletihan, sebelum saya secara sukarela melakukan ujian saringan,” katanya.