Dunia

COVID-19: Tak mustahil dunia cecah 100,000 kematian seminggu

AS, Eropah jadi penyumbang besar kes jangkitan dan kematian global

GENEVA, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bimbang dengan peningkatan kes harian COVID-19 di seluruh dunia, yang memungkinkan 100,000 kematian direkodkan dalam tempoh seminggu. 

Ketua Perkhidmatan Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan menyatakan kebimbangan dalam sesi ke-14 Lembaga Eksekutif yang berlangsung pada 18 hingga 26 Januari di Geneva. 

“Kecenderungan peningkatan keseluruhan kes dilihat pada minggu-minggu sebelumnya, di mana kurang lima juta kes dilaporkan di seluruh dunia minggu lalu. 

“Jumlah kematian baru juga menunjukkan tren yang sama dengan lebih 93,000 kematian minggu lalu. Tidak mustahil ia mencapai 100,000 kematian setiap minggu,” kata Ryan. 

Dia memberitahu bahawa dunia telah merekodkan lebih dua juta kematian secara keseluruhan dengan 93 juta kes sejak wabak merebak. 

“Pada minggu terakhir, 87 peratus dari semua kes COVID-19 dan 87 peratus dari semua kematian akibat virus direkodkan di Amerika dan Eropah, dengan empat wilayah lain mewakili 13 peratus daripada semua kes serta kematian,” katanya. 

Ryan berkata, jumlah kes terus meningkat di Amerika, Pasifik Barat dan Afrika sejak beberapa minggu lalu. 

Walaupun jumlah keseluruhan stabil atau menurun di Eropah, jumlah kes serta kematian di rantau itu masih tinggi.

Di Amerika, dunia kini menghampiri sejuta kematian, di mana negara itu menyumbang 53 peratus kes dan 47 peratus kematian global pada minggu lalu.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button