Berita Utama

‘Guru boleh maklum jika ada masalah untuk kembali bertugas’

Ketua Jabatan akan beri pertimbangan jika guru, pensyarah terkandas

PUTRAJAYA, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa  – Mana-mana guru yang menghadapi kesulitan untuk kembali bertugas terutama ke Sabah dan Sarawak diminta untuk memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, perkara itu bagi memudahkan urusan pentadbiran di sekolah dan institusi pendidikan.

“Kami sedar ada dalam kalangan guru dan pensyarah di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing di Sabah dan Sarawak berdepan dengan kesulitan kerana perubahan jadual penerbangan.

“Saya dimaklumkan KPM telah mengeluarkan surat pemakluman berhubung pergerakan guru dan pensyarah untuk kembali ke stesen tempat bertugas.

“Surat tersebut menyatakan agar Ketua Jabatan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada guru dan pensyarah yang terkandas atas faktor di luar kawalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Radzi berkata, guru dan pensyarah berkenaan diminta menghubungi ketua jabatan masing-masing untuk memastikan kelancaran urusan pentadbiran.

“Bagi guru dan pensyarah yang terkandas, maklumkan segera kepada Ketua Jabatan anda untuk memudahkan urusan pentadbiran di sekolah dan institusi pendidikan.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button