Berita Utama

Kegagalan kerajaan baik pulih taraf hidup rakyat ibarat bermain dengan api

Sikap ahli politik kemaruk kuasa heret rakyat dalam sengsara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan membaik pulih ekonomi terutama peluang pekerjaan ketika ini dilihat seperti bermain dengan api. 

Terdapat pelbagai persoalan utama yang gagal dijelaskan, bahkan tiada tindakan emperikal daripada kerajaan dalam berdepan dengan pandemik, kata Naib Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), AD Satiman

Misalnya, bagaimana langkah jelas daripada kerajaan untuk memperhebatkan sektor kesihatan daripada sudut belanjawan, prasarana, ubat, dan moral para petugas. 

“Bagaimana langkah kerajaan mahu pulihkan ekonomi? Bagaimana yang dibuang kerja kerana PKP? Bagaimana peluang kerja untuk graduan baru? 

“Bagaimana tata selia PdPR untuk anak bangsa? Bantuan jalur lebar? Bantuan alat peranti dan komputer riba? 

“Bagaimana keperluan sosial dan kebajikan rakyat? Kesihatan mental? Dan yang lebih dirisaukan adalah bagaimana tadbir urus belanjawan tempoh hari?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net. 

Justeru, katanya, amat penting untuk setiap Ahli Parlimen memainkan peranan masing-masing dalam usaha menyelamatkan negara daripada wabak COVID-19.

Mereka perlu berfungsi dan fokus usaha mengatasi pandemik secara berkesan dan pulihkan semula ekonomi negara, katanya

“Ini tidak, beberapa ahli politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Maslan masih bermain politik.

“Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan pula majoritinya senyap membisu tanpa idea dan tindakan membela anak watan Malaysia daripada COVID-19, mempertahankan kebajikan sosial dan membaik pulih ekonomi negara. 

“Menteri Kesihatan dan dua Timbalan Menterinya dilihat tidak menjadi nakhoda di barisan hadapan. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula, tidak jelas bantuan kebajikan untuk masyarakat ketika PKP,” katanya.

Mengulas lanjut, AD Satiman berkata, sikap Ahli Parlimen yang kemaruk bermain politik dan tidak kompeten dalam melaksanakan tugas memimpin negara akan mengheret rakyat dalam beban dan sengsara. 

“Rakyat tidak perlukan bebanan ini. Rakyat sudah cukup terbeban untuk hadapi hidup saban hari. Kami perlukan pembelaan dan jelas nyata kalian tidak berminat membela kami.

“Majoriti rakyat memerhati sudah muak dan jelek akan tingkah laku ahli politik veteran menanti senja seperti mereka ini. 

“Kerana fokus mereka hanya ‘politiking’ dan menikmati laba peribadi sedangkan yang rakyat perlukan adalah hati budi seorang negarawan yang berkhidmat buat anak bangsa Malaysianya,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button