Berita Utama

Kerajaan cadang pinda Akta 355, hukuman berat untuk LGBT

Ketika ini hanya penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan

KOTA BHARU, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) bagi membolehkan hukuman berat dikenakan ke atas kumpulan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau berharap pindaan akta, juga dikenali sebagai Akta 355, akan memberi impak kepada kumpulan tersebut.

Pada masa ini, katanya, kumpulan LGBT menghadapi hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan di bawah Akta itu.

“Melihat keadaan di negara ini yang sekarang melibatkan kumpulan LGBT, kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk meminda Akta 355.

“Dengan melakukan ini, kerajaan berharap dapat mencegah mereka melakukan lebih banyak kesalahan,” katanya.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bank makanan dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada mangsa banjir di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, beliau sudah mengarahkan semua unit penguatkuasaan di jabatan agama negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan LGBT sekiranya mereka didapati melanggar undang-undang.

“Arahan ini dikeluarkan untuk semua jabatan agama negeri tetapi keutamaannya adalah di Lembah Klang.

“Pegawai agama dimaklumkan untuk mengambil tindakan terhadap kumpulan ini sehingga mereka didakwa,” katanya seperti dilapor NST.

Katanya, di negeri lain seperti Kelantan, aktiviti yang melibatkan kumpulan LGBT ini tidak membimbangkan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti LGBT juga dapat melaporkan kepada jabatan agama terdekat agar kegiatan seperti ini dapat dihentikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button