Berita Utama

Pegawai polis, 7 FRU ditahan simpan daging disyaki pelanduk

Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716)

SEREMBAN, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menahan seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan tujuh anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kerana disyaki menyimpan daging haiwan dilindungi di Empangan Talang, Kuala Pilah.

Penguat kuasa PERHILITAN dilaporkan menemui sebuah plastik putih mengandungi daging haiwan disyaki pelanduk dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Land Rover dengan tulisan ‘Polis’ yang digunakan kumpulan lelaki terbabit.

“Sebelum itu, pegawai penguat kuasa PERHILITAN menahan kenderaan dinaiki pegawai dan tujuh anggota FRU terbabit di jalan besar Kampung Talang berdekatan Empangan Talang.

“Penguat kuasa memaklumkan ingin membuat pemeriksaan dan hasilnya, menemui satu kampit plastik mengandungi daging hidupan liar disyaki pelanduk. 

“Pegawai berkenaan memaklumkan hidupan liar itu miliknya,” kata sumber seperti dilapor BH Online.

Susulan itu, mereka yang berusia antara 33 hingga 47 tahun dan bertugas di FRU Cawangan Seremban, ditahan kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin.

Sumber berkata, antara barangan lain yang dirampas PERHILITAN adalah kenderaan digunakan kumpulan terbabit, kampit plastik berisi daging berkenaan, tong dan satu gugusan kunci kenderaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716). Semua suspek kini ditahan reman untuk soal siasat lanjut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button