PERMAI: Tiada tambahan tunai, hanya percepat bantuan terdahulu
Desak skim i-Sinar KWSP lulus tanpa syarat, bayaran dibuat kadar segera

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, pakej bantuan itu tidak bersifat ‘contingency’ atau tambahan tunai dalam membantu rakyat berdepan kesukaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Bahkan, beliau berkata, kebanyakan inisiatif di dalam PERMAI adalah bantuan yang pernah diumumkan sebelum ini, cuma pemberiannya dipercepatkan sahaja.
“Berapa lama bantuan bakul makanan bernilai RM100 dan bantuan wang RM300 boleh membantu rakyat untuk terus bertahan dan kekal di rumah?
“Semasa PKP 1.0 kita mengambil masa lebih lima bulan untuk mengurangkan kadar jangkitan yang cuma beberapa ratus kes.
“Berapa lama pula untuk PKP 2.0 yang melebihi 3,000 kes setiap hari?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Muhyiddin dalam perutusan khas mengumumkan pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkan RM15 bilion, dengan 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Inisiatif itu antaranya mempercepatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 21 Januari 2021 dan bayaran pendahuluan i-Sinar (Kategori 2) RM1,000 bermula 26 Januari ini.
Ahmad Zahid berkata, meskipun pihaknya menyambut baik pendahuluan RM1,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar Kategori 2, namun beliau tidak bersetuju dengan tarikh pembayaran dikreditkan ke akaun penerima.
Katanya, pembayaran tidak sepatutnya dibuat pada 26 Januari – iaitu pada fasa pertama PKP 2.0 berakhir – sedangkan rakyat memerlukan wang itu sekarang.
“Bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman diumumkan akan terus disediakan tetapi kita mendengar rungutan mengenainya sebelum ini.
“Kesulitan untuk mendapatkan moratorium satu hal. Tawaran pengurangan bayaran balik pula didakwa lebih menguntungkan bank bebanding peminjam,” katanya.
Atas sebab itu, Zahid mendesak kelulusan moratorium bayaran pinjaman bank secara automatik, berikutan percaya masih ada keuntungan yang boleh diperoleh pihak bank daripada langkah berkenaan.
“Sebab itu kita terus mendesak kelulusan skim i-Sinar KWSP tanpa syarat dan bayaran dibuat pada kadar segera kerana wang itu adalah milik rakyat sendiri yang sangat-sangat diperlukan mereka ketika ini,” katanya.