Berita Utama

Surat SUA UMNO, usaha sekongkol dengan Anwar, DAP?

Annuar Musa mahu Ahmad Maslan tarik balik surat minta MP setuju gesa Agong paggil sidang Parlimen

BANGI, 6 Jamadilakhir 1442H, Selasa – Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa meminta Setiausaha Agung UMNO menarik balik surat yang menyatakan persetujuan menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen. 

Beliau menyifatkan tindakan Datuk Seri Ahmad Maslan – menulis surat kepada Ahli Parlimen UMNO – sebagai  satu kesilapan besar dalam mentafsirkan perkara berkaitan iaitu Fasal 150(3) Perlembagaan Persekutuan. 

Ini kerana, katanya, kaedah pengisytiharan darurat dan perjalanan legislatif ketika tempoh itu ada termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan cukup jelas. 

Annuar berkata, Perkara 150(3) yang dirujuk adalah bermaksud untuk membentangkan (bagi tujuan pemakluman kepada Parlimen) mengenai Proklamasi dan Ordinan atau Undang-Undang yang dibuat bagi tujuan pengisytiharan darurat. 

“Perkara 150(3) adalah bermaksud Proklamasi dan Ordinan perlu dibentang setelah Parlimen bersidang. 

“Fasal 150(3) tidak menyatakan atau tidak bermaksud mensyaratkan Parlimen bersidang secepat mungkin atau mewajibkan Parlimen bersidang serta-merta selepas proklamasi darurat dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Bagi maksud Fasal 150(3), beliau berkata, Parlimen bersidang untuk merungkai Proklamasi Darurat yang telah dibuat atau Ordinan yang dibuat ketika darurat sekiranya ia tidak dibatalkan terlebih dahulu – iaitu sebelum Parlimen dipanggil bersidang. 

“YB Datuk Seri seharusnya faham, setelah proklamasi dibuat di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak lagi bersidang. 

“Parlimen hanya boleh bersidang selepas tamat tempoh darurat (1 Ogos 2021) seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,” katanya. 

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, tindakan Ahmad Maslan itu turut bercanggah dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan tidak diputuskan oleh parti. 

Katanya, kenyataan akhbar Ahmad Zahid bertarikh 12 Januari adalah menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengisytiharan darurat. 

“Kalau sudah menjunjng titah dan itu keputusan parti, mengapa pula YB Datuk Seri cuba membelakangi kenyataan rasmi Presiden parti? 

“Surat YB Datuk Seri adalah suatu pelanggaran etika berorganisasi, menghina keputusan parti dan boleh ditafsirkan sebagai percubaan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya. 

Malah, Annuar menganggap ia juga sebagai satu usaha jelas untuk terus bersekongkol dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP yang sebelum ini meminta perkara sama dilakukan oleh Ahli Parlimen. 

“Ini jelas bercanggah dengan ketetapan parti. 

“Justeru, saya meminta YB Datuk Seri menarik balik surat tersebut dan saya tidak bersetuju sama sekali dengan tindakan yang tidak ‘constitutional’ serta bercanggah dengan dasar dan keputusan MKT parti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button