Berita Utama

Aktiviti masjid, surau seluruh Perlis dihentikan sepanjang PKP

Solat 5 waktu berjemaah hanya pegawai masjid dibenar hadir

KANGAR, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Semua aktiviti terbuka secara berkumpulan di masjid dan surau seluruh negeri Perlis termasuk solat berjemaah dihentikan seketika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat ini (22 Jan).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini bertitah perkara tersebut mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Keputusan itu diambil setelah menerima pandangan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkembangan semasa penularan Wabak COVID-19 dan pelaksanaan semula PKP di negeri ini.

“Pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan hanya melibatkan jemaah yang terdiri daripada anak kariah termasuk imam dengan tidak melebihi kapasiti maksimum mengikut saiz masjid dan tidak kurang daripada tiga orang seperti yang dipraktikkan sebelum ini,” titah baginda.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah bagi mengimarahkan masjid dengan solat lima waktu berjemaah, hanya pegawai dan jawatankuasa masjid yang bertugas sahaja iaitu tidak melebihi lima orang dibenarkan hadir.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah semua masjid perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini termasuk melaksanakan sanitasi.

Titah baginda semua pengerusi masjid perlu memastikan semua syarat di atas dipatuhi, masjid yang tidak mampu untuk memenuhi kesemua syarat-syarat dalam panduan adalah tidak dibenarkan untuk melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat.

Baginda bertitah semua aktiviti masjid dan surau sama ada kelas, kuliah dan pengajian dalam tempoh PKP ditangguhkan dan pengajaran secara dalam talian boleh dilaksanakan sebagai alternatif. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button