Uncategorized

Anwar dakwa majoriti MP sudah hantar surat pada Agong

Rayu Al-Sultan Abdullah kaji alasan dikemuka PM berkaitan darurat

BANGI, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa majoriti Ahli Parlimen pembangkang dan beberapa daripada kerajaan sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia bagi memohon kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menilai semula alasan dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muyiddin Yassin berkaitan proklamsi darurat.

Ketua pembangkang itu mendakwa, sebahagian besar daripada mereka menghantar surat berkenaan semalam.

“Ya benar, sekarang ini (bilangan) Ahli Parlimen yang menulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong itu mencecah lebih daripada majoriti.

“Bukan membantah, (sebaliknya) merayu ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong menimbang, melihat semula dan mengkaji alasan yang dibawa Perdana Menteri itu tidak munasabah, tidak cukup kuat.

“Kami memohon Yang di-Pertuan Agong menimbang dan kita terima keputusan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Anwar yang juga Presiden PKR mendakwa, Ahli Parlimen terbabit termasuk dirinya memohon Al-Sultan Abdullah mendengar hujah dikemukakan mereka berhubung pengisytiharan perintah darurat itu untuk dipertimbangkan.

Selain itu, perkara kedua membabitkan urusan Parlimen berikutan terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang membolehkan sidang Parlimen meskipun dalam keadaan darurat.

Terdahulu, Anwar mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan Baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Katanya, warkah terbabit hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button