Berita Utama

Doktor meninggal selepas setahun perangi COVID-19

Dr Noor Hisham nafi dakwaan Dr Ali meninggal akibat terlampau penat

PUTRAJAYA, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Seorang doktor yang bertugas hampir setahun sebagai petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin.

Menurut Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Dr Ali Noor Hassan jatuh sakit kerana terlalu penat dan letih selain kekurangan masa untuk beristirahat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani COVID-19.

“Beliau tertidur ketika bertugas dan akhirnya pengsan,” katanya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan menafikan dakwaan bahawa Dr Ali Noor Hassan meninggal dunia akibat terlampau penat dengan beban tugas.

Sebaliknya, arwah yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Cheras mengalami penyakit ‘aneurysm’ dalam otak dan disahkan meninggal dunia pada 18 Januari lalu.

Terdahulu, dalam hantaran di laman Facebook, SPJM turut memuat naik sekeping gambar Dr Ali yang tertidur semasa bertugas dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

“Sekali lagi SPJM kehilangan seorang ahli yang begitu komited berkhidmat untuk ummah selepas pemergian Pengerusi SPJM Negeri Kedah, Tuan Haji Habibullah pada hari Jumaat lepas.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal kebajikan beliau dan mengampuni segala dosanya yang lampau. Salam takziah buat ahli keluarganya,” katanya.

SPJM berkata, arwah adalah ahli berdaftar SPJM dan mengikuti SPJM sejak 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada dua tahun lalu.

“Dr Ali juga adalah seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai Ijtimak Jemaah Tabligh di Beaufort, Sabah.

“Setiap kali ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button