Berita UtamaDunia

Israel mahu Turki tutup pejabat Hamas di Istanbul

Hubungan akan kembali normal jika Israel henti tindakan haram terhadap Palestin: Erdogan

TEL AVIV, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Negara haram Israel tidak berhasrat untuk meneruskan hubungan normal dengan Turki dan menghantar duta besarnya kembali ke Ankara kecuali jika pemerintah Turki menutup pejabat Hamas di Istanbul.  

“Presiden Recep Tayyip Erdogan dengan ‘senang hati’ akan mengembalikan duta besar kami ke Ankara, tetapi apa yang kami minati adalah kegiatan Hamas di Turki,” dakwa seorang pegawai Israel dikutip oleh Ynet.

Pada tahun 2019, didakwa bahawa beberapa tokoh kanan gerakan Hamas menggunakan Istanbul sebagai tempat perlindungan. 

Kemudian pada bulan Oktober tahun lalu, Times of Israel melaporkan bahawa gerakan itu telah mendirikan sebuah pejabat di bandar itu, serta sebuah pusat rahsia yang dipercayai digunakannya untuk melakukan serangan siber ke atas Israel.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Turki tampil sebagai penyokong perjuangan Palestin, memutuskan hubungan dengan Israel pada 2018 ketika Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain mula mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Pada bulan Ogos tahun lalu, Erdogan menjadi tuan rumah delegasi Hamas yang diketuai oleh Ketua Biro Politiknya, Ismail Haniyeh.  

Washington bagaimanapun mengecam pertemuan itu.

Turki juga telah muncul sebagai orang tengah antara kumpulan Palestin, Hamas dan Fatah, yang membolehkan mereka bertemu dan berunding di Istanbul pada bulan September yang lalu. Gerakan-gerakan itu mencapai kesepakatan mengenai langkah-langkah dialog nasional.

Selepas perbincangan itu, Hamas dituduh menangguhkan pengesahan perjanjian itu.  

Pada bulan November, gerakan itu mengatakan bahawa proses pendamaian musnah selepas Fatah dan Pihak Berkuasa Palestin kembali ke dasar kerjasama keselamatan dengan Israel.

Sejak akhir tahun lalu, muncul laporan mengenai Turki dan Israel menjalin semula hubungan dan mengembalikan duta besar masing-masing ke jawatan mereka.  

Meskipun menyatakan hasratnya untuk menyambung kembali hubungan yang lebih baik itu, Erdogan menegaskan bahawa tindakan Israel terhadap rakyat Palestin ‘tidak dapat diterima’ dan menegaskan bahawa dasar Palestin adalah ‘garis merah’.

Sebagai respon kepada syarat yang dikenakan Israel, Turki pula membalas dan mengatakan bahawa ia juga mempunyai syaratnya sendiri. 

“Hubungan akan normal jika Israel menghentikan tindakan haramnya seperti aneksasi terhadap rakyat Palestin.

“Tanpa ini, usaha ke arah hubungan akan dipinggirkan,” kata Menteri Luar Negeri, Mevlut Cavusoglu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button