Kadar OPR kekal 1.75 peratus
Ekonomi global terus pulih dipacu peningkatan aktiviti perkilangan, eksport

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan dikekalkan pada 1.75 peratus.
Keputusan itu dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).
Dalam satu kenyataan bank pusat berkata, ekonomi global terus pulih dengan dipacu peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan eksport.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan semula kes COVID-19 baru-baru ini dan langkah mengekang selanjutnya telah mempengaruhi aktivit ekonomi di beberapa ekonomi utama.
“Mempercepatkan pelaksanaan program vaksin secara besar-besaran, berserta dengan sokongan dasar berterusan dijangka meningkatkan prospek pertumbuhan global melangkah ke depan.
“Keadaan kewangan juga kekal menyokong. Prospek keseluruhan tetap tertakluk kepada risiko penurunan, terutama jika terdapat peningkatan jangkitan COVID-19,” katanya.