Berita Utama

Mantapkan PdPR elak keciciran pelajar

Banyak isu dibangkit kesediaan murid, guru terima kaedah ini

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pembukaan sesi persekolahan dalam normal baharu tahun ini memberi pengalaman yang mungkin tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Kalau setiap tahun wajah keterujaan murid dan ibu bapa yang paling ditunggu-tunggu terutama yang pertama kali memasuki alam persekolahan, tetapi tahun ini berbeza apabila anak akan memulakan sesi persekolahan hanya di rumah.

Pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan aliran penurunan dengan kumulatif kes melebihi 150,000 dan kes harian yang mencapai empat digit menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat ketetapan baharu dengan menangguhkan sesi persekolahan secara bersemuka pada Rabu ini.

Hanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) bagi tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara sahaja dibenarkan memulakan sesi persekolahan melalui kaedah bersemuka.

Manakala murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan 1 hingga 5 bagi tahun ini pula mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Mahu atau tidak, pembelajaran melalui PdPR yang telah dimulakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lepas perlu dimantapkan kerana kita tidak tahu berapa lama lagi pandemik ini akan berakhir.

KAJIAN KEBERKESANAN PdPR

Ruang penambahbaikan dalam pengajaran PdPR perlu dipertingkatkan kerana banyak isu yang dibangkitkan terutama kesediaan murid dan guru menerima kaedah ini sebagai sebahagian daripada normal baharu dalam pendidikan.

Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kajian tentang kesediaan guru dalam melaksanakan PdPR menunjukkan banyak masalah yang dihadapi ketika melaksanakan PdPR.

Antaranya 70-80 peratus guru melaporkan cabaran utama melaksanakan PdPR adalah kesukaran mendapatkan perhatian pelajar selain masalah kekurangan peralatan, kelemahan infrastrutur dan capaian internet.

Kehadiran murid yang mengikuti PdPR pula tidak mencapai 80 peratus dan kebanyakan murid tidak memberikan fokus kerana suasana rumah yang tidak kondusif.

Kajian itu juga menunjukkan 50-60 peratus guru tidak selesa melaksanakan pengajaran secara dalam talian dan 50-60 peratus guru melaksanakan PdPR dalam tempoh antara satu dan dua jam sahaja.

Kemahiran guru menggunakan peralatan IT secara dalam talian pula hanya sekitar 50-60 peratus manakala hanya 40-50 peratus sahaja guru yang mahir mempelbagaikan pengajaran secara dalam talian.

Kajian yang diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor itu juga menunjukkan kaedah pengajaran guru kurang berkesan kerana kurang selari dengan tahap kebolehan dan pembelajaran murid.

Dapatan kajian itu juga menunjukkan komunikasi murid dan guru melalui PdPR sangat terbatas dan terdapat guru memberikan terlalu banyak latihan kepada murid hingga menyebabkan sebahagian ibu bapa merasa terbeban kerana terpaksa membantu anak membuat latihan.

Guru pula terikat kerana perlu habiskan silibus selain perlu memberikan laporan sebagai pembuktian PdPR dilaksanakan.

KEKANGAN DAN KESUKARAN PdPR

Menurut Azlin Norhaini, bagi memantapkan kaedah PdPR kerjasama tiga pihak iaitu guru, murid dan ibu bapa sangat penting untuk memastikan keberkesanan kaedah ini.

Berdasarkan temu bual bersama guru, ibu bapa dan murid, memang terdapat kekangan dan kesukaran dalam melaksanakan PdPR walaupun mempunyai peralatan dan internet yang mencukupi.

“Murid sukar untuk memahami pembelajaran secara online sebab masalah komunikasi yang one-way (guru kepada murid), murid sukar nak bertanya soalan atau untuk minta penjelasan lanjut.

“Apabila murid tidak faham, ibu bapa perlu main peranan untuk mengajar anak dan bantu mereka untuk menyiapkan latihan. Majoriti ibu bapa tidak mampu sebab mereka juga tiada pengetahuan dan tiada masa lapang sebab kebanyakan ibu bapa juga bekerja dari rumah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau, yang juga Pengerusi Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan UKM berkata, kebanyakan ibu bapa yang pada awalnya berusaha membantu anak akhirnya terpaksa reda apabila anak mereka ketinggalan dalam menyiapkan latihan akibat kesukaran untuk membantu menyiapkan latihan itu.

Antara langkah yang boleh diambil bagi memantapkan kaedah PdPR ialah dengan mewujudkan Sekolah Maya melalui radio dan televisyen (TV).

“Sekolah Maya ini boleh menggunakan saluran media seperti tv, radio, Netflix, Astro, Pusat Internet di semua peringkat sekolah rendah dan menengah dengan jadual untuk dua subjek selama empat jam sehari.

“Konsepnya lebih kurang sama seperti program belajar mengaji yang terdapt dalam saluran televisyen sekarang di mana pelajar boleh bertanyakan soalan menerusi Whatsapp secara langsung,” katanya dan menambah, tempoh empat jam itu sudah mencukupi kerana murid akan merasa bosan dan hilang fokus sekiranya terpaksa mengadap komputer terlalu lama.

Beliau turut mencadangkan agar KPM bekerjasama dengan semua syarikat telekomunikasi untuk menyumbangkan tanggungjawab sosial dengan memberikan bantuan internet dan kerajaan pula perlu memberikan pelepasan cukai sepenuhnya atas kerjasama itu.

“Sudah tiba masanya semua pihak, sama ada kerajaan dan swasta berganding bahu bagi mengembeleng tenaga untuk menangani masalah pendidikan anak Malaysia,” katanya.

WUJUDKAN ONE STOP CENTER PdPR

Sementara itu, Presiden Majlis Permufakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan menyatakan dalam situasi yang berlaku dalam negara sekarang PdPR adalah keadah pembelajaran yang terbaik untuk pelajar.

Secara relatifnya, pendekatan PdPR yang masih baharu di Malaysia perlu diperkukuh dan diperkasakan bagi mengatasi masalah yang ada.

Antara isu penting yang perlu diatasi adalah liputan atau kapasiti jalur lebar internet yang boleh mencakupi ke seluruh negara terutamanya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Selain itu, kesediaan peranti dan alatan lain yang diperlukan setiap pelajar pada masa dan ketika dikehendaki tanpa gangguan.

“Buku panduan dan e-teknologi yang menyeluruh dan diuji juga sangat diperlukan pelajar dalam membantu pembelajaran PdPR selain perlunya pemantauan dan penilaian yang berkesan bagi kaedah ini dijalankan. Kekangan ini perlu diambil tindakan oleh pihak berwajib secara tutas dan sistematik,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan pusat rujukan PdPR di setiap pejabat pendidikan daerah dan negeri yang bertindak sebagai “pusat sehenti” bagi menangani isu berkaitan PdPR.

Selain itu, perlu diwujudkan pegawai khas sebagai koordinator bagi merancang PdPR secara berterusan walaupun selepas pandemik, katanya.

“Buat spot check terhadap pelaksanaan PdPR secara berkala dan mengejut selain guru dan tenaga pengajar perlu diberikan ilmu pengetahuan semasa, kemahiran tertentu mengenai PdPR dalam kadar segera. Saya percaya kaedah PdPR ini akan diperlukan pada masa hadapan walaupun sesudah pandemik ini berakhir,” katanya.

IBU BAPA AKUR, MAHU PdPR LEBIH BAIK

Mempunyai enam orang anak yang masih bersekolah di sekolah menengah dan rendah adalah satu cabaran besar buat Zazariah Mohd Nor, 44, dari Seremban bagi memastikan setiap anaknya mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR.

Empat orang anaknya yang berada di sekolah menengah memerlukan komputer bagi melakukan latihan dan tugasan sekolah manakala dua lagi anaknya yang berada di sekolah rendah termasuk anak bongsunya yang akan memasuki tahun satu memerlukan lebih banyak tumpuan dan perhatian dalam pembelajaran.

Dalam keadaan sekarang mahu atau tidak PdPR adalah kaedah terbaik bagi mengurangkan risiko namun cabarannya pula dari segi peranti dan alatan terutama bagi ibu bapa yang mempunyai anak ramai masih bersekolah seperti saya, katanya.

“Kalau ikutkan tahun lepas banyak latihan yang perlu dicetak dan jadi masalah kepada ibu bapa yang tidak mempunyai printer. Sebaiknya latihan murid itu disalin di buku latihan terus… jadi mereka boleh tengok daripada telefon dan komputer tanpa perlu dicetak.

“Dengan cara ini akan memahirkan lagi murid dalam menulis dan melukis terutama bagi murid sekolah rendah,” katanya yang berharap lebih banyak insentif diberikan kepada ibu bapa untuk membeli peranti bagi keperluan pembelajaran PdPR ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button