Berita Utama

Kena siasat ‘kacang hantu’ dalam JPN, Imigresen

Zahid tegaskan tidak adil tuduh seluruh jabatan amal rasuah

BANGI, 15 Zulhijjah 1444H, Selasa – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan wujud ‘kacang hantu’ dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Justeru, Timbalan Perdana Menteri itu bersetuju agar kedua-dua jabatan berkenaan disiasat bagi mengelakkan pertuduhan secara rambang.

Meskipun begitu, beliau menyifatkan adalah tidak adil untuk membuat tuduhan secara rambang atau mengaitkan seluruh jabatan itu melakukan amalan rasuah.

“Kita tidak wajar melakukan tuduhan secara rambang dan dalam perkara ini yang penting adalah keberkesanan terhadap langkah dilakukan kepada dua jabatan itu, mungkin ada kacang-kacang hantu.

“Kacang hantu ini memang wujud dan sentiasa wujud malah disebabkan kacang hantu ini, atau kerana nila setitik, ia merosakkan susu sebelanga.

“Justeru ia harus dibanteras dan saya amat bersetuju dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang melakukannya, tetapi saya fikir tidak adil untuk menuduh seluruh jabatan,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa JIM dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Terdahulu, Anwar berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

Bahkan katanya, masih ada kelompok kecil dalam JIM yang selesa dengan amalan lama khususnya pelakuan rasuah.

Pautan berkaitan;

Dua agensi KDN disiasat


https://ismaweb.net/2023/07/04/tiada-kompromi-rasuah-dalam-jpn/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button