Berita Utama

Pengisytiharan darurat oleh Agong tidak boleh dicabar

Nasihat jemaah menteri hanya dalam fungsi kuasa Eksekutif Agong, perkara tertakluk undang-undang

BANGI, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar dengan kuat kuasanya Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan. 

Namun, Parlimen boleh menamatkan tempoh darurat lebih awal melalui resolusi, demikian kata Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Beliau berkata, proses persidangan Parlimen semasa darurat ditetapkan oleh Perkara 150(9) Perlembagaan Persekutuan. 

Malah, katanya, Seri Paduka melalui ordinan boleh mengadakan prosiding Parlimen mengikut kesesuaian waktu darurat. 

“Dalam keadaan perlukan kesegeraan, Agong boleh menggubal ordinan tanpa membentangkannya di Parlimen. 

“Dalam situasi biasa, ordinan melibatkan kuasa perundangan, justeru persidangan Parlimen itu perlu selaras dengan amalan syura yang melandasi sistem politik tradisional yang mendukung Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara alternatifnya, Dr Wan Ahmad Fauzi berkata, tanpa prosiding Parlimen, Seri Paduka boleh melaksanakan syura untuk menggubal ordinan melalui rundingan dengan Majlis Raja-raja juga pihak-pihak berwibawa lain seperti Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain daripada jemaah menteri. 

“Selagi tiada ordinan dikeluarkan oleh Seri Padika untuk menggantung kuat kuasa doktrin nasihat di bawah Perkara 40(1A), maka baginda masih perlu menerima nasihat jemaah menteri terlebih dahulu untuk melaksanakan kuasa di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. 

“Perkara 55 dibaca dengan Perkara 40(1A) iaitu baginda perlu bertindak atas nasihat jemaah menteri untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, melainkan pembubaran Parlimen di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, dalam penggubalan ordinan, Seri Paduka tidak tertakluk pada nasihat jemaah menteri. 

“Hal ini kerana kuasa perundangan Persekutuan termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan, iaitu Agong dan dua Majlis Parlimen. 

“Justeru, Agong tidak perlu mengikut nasihat jemaah menteri untuk menggubal Ordinan. Nasihat jemaah menteri hanya terpakai dalam penjalanan fungsi kuasa Eksekutif Agong dan perkara-perkara yang diberikan oleh undang-undang Perlembagaan,” katanya.

Proklamasi Darurat Kesihatan COVID-19 yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 12 Januari lalu dan berkuat kuasa pada 11 Januari hingga 1 Ogos, atau mana-mana tarikh atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button