Berita UtamaDunia

UAE tangguh laksana perjanjian pengecualian visa dengan Israel

Dubai buat keputusan selepas Israel minta pengunjung jalani kuarantin 14 hari

TEL AVIV, 7 Jamadilakhir 1442H, Rabu – Kementerian Luar Negeri Israel mengumumkan bahawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) menangguhkan sementara perjanjian pengecualian visa dengan negara Yahudi itu, dengan alasan kebimbangan terhadap COVID-19.

Dalam satu kenyataan, jurucakap kementerian, Lior Haiat mengatakan bahawa kerajaan UAE memaklumkan bahawa pelaksanaan perjanjian itu ditangguhkan hingga 1 Julai atau sehingga adanya langkah untuk mengekang penyebaran coronavirus, lapor agensi berita Xinhua.

Keputusan itu diambil sesuai dengan perjanjian yang mengatakan bahawa kedua-dua pihak boleh menangguhkan pelaksanaan perjanjian tersebut dengan alasan kebimbangan kesihatan awam, menurut Haiat.

Kementerian Luar Negeri Israel mengatakan bahawa UAE telah melaksanakan langkah serupa untuk menyekat kedatangan dari negara lain juga, termasuk India, Pakistan dan beberapa negara Eropah yang lain.

Menurut kementerian, pengecualian visa seharusnya berkuat kuasa pada 13 Februari.

Ianya adalah antara perkara penting dalam perjanjian normalisasi Israel-UAE yang ditandatangani pada 15 September 2020.

Pengumuman itu dibuat sehari setelah Kabinet Israel memutuskan untuk mewajibkan semua pengunjung dari UAE untuk dikuarantin di sebuah ‘motel coronavirus’ yang dikendalikan oleh tentera selama 10-14 hari.

Sebelum ini, dengan penguatkuasaan perjanjian itu, UAE menjadi negara Arab pertama yang rakyatnya boleh memasuki Israel tanpa visa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button