Berita Utama

MCMC minta kerjasama orang ramai lapor sebarang berita palsu

“Tindakan undang-undang hanya boleh diambil kepada mereka yang dilaporkan'

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Orang ramai diminta memainkan peranan dengan melaporkan tentang berita palsu dan mengelirukan yang disebarkan di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terutama ketika wabak COVID-19 melanda negara.

Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata kurangnya kerjasama masyarakat untuk melaporkan perbuatan menyebarkan berita tidak sahih menyukarkan tindakan undang-undang diambil kepada pelaku kesalahan.

“Tindakan undang-undang (hanya) boleh diambil kepada mereka yang dilaporkan. Ini penting ya, kalau orang tak lapor (sukar untuk) tindakan diambil,” katanya kepada Bernama.

Fadhlullah Suhaimi berkata bagaimanapun tindakan undang-undang sepatutnya menjadi pilihan terakhir dalam menangani perkara itu dan usaha advokasi akan diteruskan dalam mengubah mentaliti masyarakat termasuk menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkan kepada pihak lain.

Menyebarkan berita palsu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga 18 Jan, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan MCMC berhubung berita palsu berkaitan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button