Berita Utama

Bersatu boleh tutup ‘kedai’ di Sabah, sinis Puad

Akar umbi Bersatu berasal dari akar umbi UMNO lompat parti

BANGI, 16 Jamadilawal 1444H, Ahad – Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoal kewujudan Bersatu Sabah susulan tindakan pemimpin negeri yang diketuai Datuk Seri Hajiji Noor, keluar parti itu semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu melihat situasi berkenaan seperti peristiwa yang melanda UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Bila UMNO hilang kuasa di PRU14, 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah melompat masuk Bersatu. Tinggal tiga orang istiqamah iaitu Bung Mokhtar, Yaakub Khan dan Ramie Unggi.

“21 Bahagian itu dipangku oleh mereka yang baru termasuk dua wanita. Apakah UMNO Sabah mati? UMNO Sabah bangkit semula dan menang PRK Kimanis dan PRN Sabah.

“Itu maknanya UMNO Sabah berakar umbi. Sekarang giliran Bersatu. Semua keluar Bersatu dan akan tubuh parti baru. Akan ada lagikah Bersatu di Sabah?” soalnya menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.

Menurutnya, keadaan itu juga menunjukkan Bersatu tidak mempunyai akar umbi.

“Akar umbi parti itu berasal dari akar umbi UMNO yang lompat parti. Tanpa kuasa di kerajaan negeri, Bersatu bolehlah tutup kedai di Sabah,” katanya.

Terdahulu, Hajiji berserta pemimpin Bersatu Sabah memutuskan untuk meninggalkan parti itu, namun terus kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia selepas mereka menyertai Kerajaan Perpaduan menerusi GRS bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan (WARISAN).

Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, keputusan dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Katanya, semua bekas ahli Bersatu termasuk beliau akan menubuhkan sebuah parti tempatan baharu tetapi buat masa ini akan menjadi ahli GRS.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button