Berita Utama

Biden tamatkan sekatan perjalanan negara majoriti Islam

Sifatkan tindakan dikenakan oleh presiden sebelum ini sebagai ‘diskriminasi’

WASHINGTON, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Rabu menamatkan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas beberapa negara majoriti penduduknya Islam.

Pentadbiran baharu AS menyifatkan tindakan itu yang dikenakan oleh presiden sebelum ini sebagai ‘diskriminasi’.

Biden menandatangani perintah eksekutif itu di Pejabat Oval setelah mengangkat sumpah sebagai presiden ke-46 negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Dalam perisytiharan itu, beliau berkata AS “dibangun di atas landasan kebebasan beragama dan toleransi, suatu prinsip yang termaktub” dalam perlembagaan negara.

Trump mengenakan larangan itu pada Mac 2017 dengan perintah eksekutif diikuti proklamasi yang memperkenalkan proses kelayakan dan pemeriksaan, dengan menyebut ia sebagai cubaan menyusup masuk “pengganas” atau “ancaman keselamatan awam,” sebagai langkah menghalang individu memasuki AS dari negara-negara Islam dan kemudiannya beberapa negara Afrika lain. Ia termasuk Syria, Somalia, Yaman, Iran, Iraq, Libya dan Sudan.

“Keselamatan nasional kita akan ditingkatkan dengan membatalkan Perintah Eksekutif dan Proklamasi itu,” kata Biden, mengarahkan semua kedutaan dan konsulat Amerika untuk meneruskan proses permohonan visa bersesuaian dengan langkah itu.

Sekatan tersebut “berakar umbi daripada perasaan benci pada agama, dan xenofobia (benci dan takut pada orang asing),” kata jurucakap Rumah Putih Jen Psaki dalam taklimat media.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menyambut baik tindakan itu, dan menyifatkan sebagai “langkah pertama yang penting untuk menghentikan dasar anti-Muslim dan anti-imigran oleh pentadbiran sebelum ini.”

“Ia menepati janji kempen kepada masyarakat Islam dan sekutunya,” kata ketua pertubuhan itu, Nihad Awad. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button