Berita Utama

‘Kembalikan pemimpin beriman berani tegak hak, hapuskan batil’

Apa guna ahli politik pandai bercakap tapi bisu berdepan isu rakyat

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masrizi Sat tidak putus berdoa serta berharap agar negara ini ditadbir oleh pemimpin yang berani menegakkan hak dan menghapuskan kebatilan.

Hal ini kerana tiada guna jika negara mempunyai pemimpin politik yang hanya pandai bercakap tetapi diam membisu apabila berhadapan dengan masalah rakyat di depan mata.

Sebagai contoh isu yang berlaku melibatkan penceroboh hutan simpan dan pembangunan projek yang tidak terkawal – sehingga kini masih belum menemui titik noktah -mengakibatkan banyak kerosakan kepada keindahan alam semulajadi ciptaan Allah SWT.

Ustaz Masrizi dalam catatan terbaharu di laman sosial Facebooknya berkata, tindakan itu merosakkan ekosistem kawasan tadahan air, membuatkan saliran air tersumbat dan cetek, melimpahkan ke sungai dengan membawa lumpur sekali gus mengakibatkan banjir kotor.

Hanya kerana memberikan kekayaan kepada segelintir pihak, ia mengakibatkan kesusahan dan penderitaan yang teruk kepada rakyat peribumi, katanya.

Sehubungan itu, beliau berdoa agar pemimpin yang beriman dikembalikan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Ya Allah, kembalikan negara kami kepada para pemimpin yang beriman, bertaqwa yang berani menegakkan yang hak dan menghapuskan yang batil.

“Musnahkan segala tipu daya… yang membuat kerosakan dalam negara kami, angkatlah musibah yang menimpa kami, selamatkanlah kami,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button