Berita Utama

Kerajaan rancang pinda perundangan Syariah babit ‘mak nyah’ di media sosial

Jawatankuasa Bertindak ditubuhkan untuk tangani isu LGBT beragama Islam

BANGI, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Undang-undang Syariah di negara ini dilihat masih ketinggalan khususnya tindakan terhadap lelaki yang berperlakuan seperti wanita di media sosial. 

Merujuk undang-undang Wilayah Persekutuan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, penguat kuasa agama tidak boleh mengambil tindakan semata-mata kerana individu itu seorang ‘mak nyah’ tanpa bukti pelakuannya di tempat awam atau dengan tujuan tidak bermoral. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary berkata, atas sebab itu pihaknya mahu meminda semua undang-undang Syariah yang berkaitan secara berperingkat selari dengan perkembangan teknologi dan keadaan semasa. 

 “Ada dua perkara yang saya akan pastikan ia dimasukkan dalam pertimbangan untuk pindaan. 

“Pertama, tukar jantina perlu dijadikan kesalahan khusus dalam undang-undang jenayah Syariah. 

“Kedua, kandungan media sosial yang berkaitan dengan semua pelakuan bertentangan dengan jantina iaitu yang tidak senonoh, lucah dan jelik juga perlu dijadikan salah satu jenis kesalahan Syariah yang dilakukan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan. 

Ahmad Marzuk berkata, pihaknya juga telah menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang beragama Islam. 

“Jawatankuasa ini dianggotai oleh lebih 20 organisasi yang berkepentingan dan sudah memulakan mesyuarat pertamanya pada Disember lepas. 

“Doa dan sokongan kalian semua amatlah kami harapkan dalam usaha mengekang individu dan organisasi yang cuba mempromosi gaya hidup songsang kepada anak-anak kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button