Berita Utama

Malaysia ada formula tepat bagi pemulihan

Ia baik dari segi kesihatan awam mahupun ekonomi: Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 8 Jamadilakhir 1442H, Khamis – Malaysia mempunyai formula yang tepat untuk meletakkan negara ini pada landasan pemulihan, baik dari segi kesihatan awam mahupun ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata gabungan beberapa keputusan terbaru melibatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) serta inisiatif menerusi Belanjawan 2021 dan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (PERMAI) — termasuk mempercepatkan perolehan vaksin dan menggalakkan ujian saringan pekerja — dilihat sebagai formula yang tepat.

“Paling penting, kesemua langkah ini perlu dilihat secara keseluruhan, bukan secara berasingan,” katanya semasa membentangkan Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-37 hari ini.

Beliau berkata kerajaan tetap akan berusaha melakukan yang terbaik untuk membendung pandemik COVID-19 dan memastikan proses pemulihan ekonomi dapat diteruskan.

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) telah memutuskan OPR dikekalkan pada 1.75 peratus setelah mengambil kira pelbagai kemudahan kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan pakej di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA PRIHATIN), serta Belanjawan 2021 yang masih diteruskan atau akan dilaksanakan, katanya.

“Langkah-langkah yang telah dan akan terus dilaksanakan termasuk moratorium pinjaman, geran khas, Program Subsidi Upah dan pembiayaan mudah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata BNM turut mengumumkan lanjutan fleksibiliti bagi institusi perbankan menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk memenuhi pematuhan SRR sehingga 31 Dis, 2022.

“Secara ringkasnya, langkah ini akan memastikan mudah tunai mencukupi bagi menyokong aktiviti kewangan dan ekonomi,” katanya.

Mengenai Pembiayaan PKS PENJANA bernilai RM2 bilion, beliau berkata sejumlah 6,139 permohonan telah diluluskan dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM1.18 bilion setakat 8 Jan, 2021 berbanding dengan 5,976 permohonan dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM1.15 bilion setakat 1 Jan, 2021.

Beliau berkata bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA, terdapat 567 permohonan bagi pembiayaan ini diterima setakat 8 Jan, 2021 dan daripada jumlah itu 271 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan RM54.9 juta.

Sementara itu, Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), sejumlah RM320 juta telah disalurkan untuk dimanfaatkan oleh 9,358 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan setakat 8 Januari, katanya.

Tengku Zafrul berkata setakat 8 Januari, 389 PKS menerima dana daripada skim Bumiputera Relief Financing (BRF) yang diuruskan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd, melibatkan sejumlah RM105.6 juta.

Beliau berkata bagi sokongan kepada industri pertanian dan makanan pula, sejumlah RM71.3 juta telah disalurkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank untuk dimanfaatkan oleh 6,748 PKS Mikro pertanian.

Seterusnya, dari segi permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 4.8 juta permohonan di bawah Kategori 1 telah diterima KWSP setakat 20 Jan, 2021 dengan 3.18 juta permohonan yang melibatkan RM25.3 bilion telah diluluskan.

“Ahli-ahli yang yang permohonan mereka telah diluluskan telah mula menerima jumlah keseluruhan RM13 bilion pada Januari ini,” katanya.

Bagi Skim pengeluaran i-Lestari di bawah KWSP, setakat 8 Jan, 2021 jumlah pengeluaran kumulatif tidak berubah iaitu sebanyak RM14.77 bilion melibatkan 4.93 juta penerima, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button